Translate

9/3/56

PENINDASAN KE ATAS UMAT ISLAM MINORITI


PENINDASAN KE ATAS UMAT ISLAM MINORITI

Umat Islam Cuba Hidup Berlandaskan Agama
Dalam bab-bab yang lepas, kita hanya meninjau keadaan negara-negara yang mempunyai umat Islam sebagai penduduk majoriti, dan telah menganalisis penderitaan yang dikenakan ke atas mereka oleh kuasa-kuasa penakluk atau pun sistem pentadbiran yang bersifat menindas. Namun, banyak juga negara-negara di dunia ini yang memiliki penduduk Islam yang sedikit. Ber­juta-juta umat Islam sedang turut menderita di negara-negara seperti Myanmar, Filipina, Kemboja dan Thailand.
Kekejaman yang berlaku di negara-negara tersebut secara umumnya adalah lebih dahsyat dan buas berbanding di tempat-tempat lain. Mereka tidak mampu untuk mem­bolehkan suara mereka didengari oleh dunia luar, dan mereka terus bergelut untuk me­neruskan penghidupan walaupun sebenarnya bagi kebanyakan kes, mereka sudah mati akal, manakala tanah dan harta benda pula telah dirampas. Usaha yang hebat telah dijalankan bagi menghalang mereka dari hidup ber­landaskan kepada agama yang dianuti, dan pihak berkuasa sedang berusaha untuk meng­asimilasi mereka dengan mengenakan tekanan dan sistem pemerintahan yang zalim.
Bab ini akan menghuraikan penderitaan-penderitaan yang dikenakan ke atas mereka, dan akan berusaha untuk mereka yang sedang menjerit meminta bantuan.
MYANMAR, Penduduk yang Berhadapan Dengan Kezaliman Penganut Budda
Myanmar (sebelum ini dikenali sebagai Burma) mempunyai rakyat seramai 48 juta orang, 15 peratus daripadanya beragama Islam. Bakinya kebanyakan beragama Budda. Umat Islam tinggal di kawasan Arakan yang terletak di negara tersebut.
Arakan merupakan sebuah kawasan yang paling kaya dari segi simpanan minyak dan gas asli, dan penduduknya telah memeluk Islam melalui pedagang-pedagang Arab. Perubahan ke arah Islam me­mun­cak dengan penubuhan ke­rajaan Islam pada tahun 1430. Negara ini telah bertahan selama 350 tahun, sehinggalah penganut Budda me­namatkannya dengan menakluki Arakan.
Serta-merta selepas umat Islam kehilangan kuasa politiknya pada tahun 1783, penganut Budda Burma telah memulakan polisi menindas dan malah secara fizikal cuba meng­hapuskan umat Islam. Negara ini kemudian dikoloni oleh British sehingga akhir abad ke-19.
Kempen anti-Islam yang di­lancarkan oleh penganut Budda semakin rancak pada abad ke-20, dan terjadilah peristiwa pem­bunuhan beramai-ramai di Arakan pada tahun 1942 yang meng­akibatkan kematian kira-kira 100,000 umat Islam. Beratus-ratus ribu yang lain pula sama ada lumpuh atau dihalau dari tanah mereka sendiri.
Burma mendapat kemerdekaan pada tahun 1948 dengan berakhirnya pemerintahan British. Namun, pemerintah yang baru telah menjadikan kehidupan umat Islam lebih huru-hara. Jeneral komunis Ne Win, yang mendapat kuasa melalui rampasan kuasa ketenteraan pada tahun 1948, telah menggerakkan kesemua pasukan bagi menghapuskan seluruh umat Islam. "Program Parti Sosialis Burma" telah menggunakan segala macam cara untuk memesongkan umat Islam dari agama mereka.
Ini bermakna umat Islam telah kehilangan semua hak-hak politik. Semua kemudahan pendidikan Islam, masjid-masjid dan tempat yang serupa telah ditutup. Masjid-masjid telah ditukar menjadi pusat hiburan ataupun kuil Budda. Mengerjakan haji, berkorban di bulan Haji, solat berjemaah dan segala macam bentuk ibadah yang lain telah diharamkan. Kesan daripada tekanan-tekanan yang dilakukan, sesetengah rakyat yang beragama Islam lari meninggalkan negara itu. Walaupun berlakunya per­pindahan, majoriti rakyat di Arakan masih beragama Islam. Jeneral Ne Win dengan itu meningkatkan lagi tekanan, dan melakukan tangkapan-tangkapan yang tidak sah dan seterusnya mendera mereka. Akibatnya, lebih sejuta umat Islam dipaksa meninggalkan Burma. Untuk menyembunyikan kebuasan yang dilakukan, kerajaan Burma enggan membenarkan kemasukan wartawan asing dan juga pelancong selama bertahun-tahun.
Rejim militari di Myanmar memulakan perang besar-besaran ke atas umat Islam, terutama ke atas masjid-masjid, para imam dan orang-orang soleh. Para pelajar Islam juga dipaksa menerima ajaran Buddha di Arakan. Wanita-wanita Islam dibawa ke kem-kem, dengan alasan untuk memberi “latihan profesional,” dan kemudian dirogol. Sesiapa yang didapati hamil akan dipaksa mengahwini mana-mana ahli pasukan keselamatan Buddha. Perkampungan dimusnahkan, rumah ditukar menjadi stesen polis, dan mereka yang kehilangan rumah berhadapan dengan kelaparan dan kemiskinan.
Berdasarkan kepada laporan pertubuhan hak-hak asasi manusia antarabangsa, kira-kira 20,000 umat Islam Arakan telah dibunuh oleh rejim penindas ini di antara tahun 1962 sehingga 1984. Beratus-ratus wanita diperkosa dan semua harta benda milik umat Islam telah dirampas. Komunikasi dalam negeri telah digunakan untuk menyebarkan pembohongan dan fitnah terhadap Islam. Pada 1978, kerosakan yang dilakukan oleh askar memaksa lebih 200,000 umat Islam melarikan diri ke Bangladesh dalam keadaan yang sangat memayahkan. Mereka kembali di bawah perlindungan PBB pada 1979.60

Untuk menggambarkan Arakan sebagai sebuah wilayah Buddha, kerajaan Ne Win telah memulakan operasi pelarian di bawah nama “Naga Raja.” Rakyat yang tinggal di perkampungan-perkampungan kecil dipaksa berpindah ke kem-kem. Kampung-kampung dan masjid-masjid dimusnahkan, ramai yang dibunuh, dirogol, ditangkap dan didera. Pada tahun 1978, seramai 200,000 umat Islam meninggalkan Arakan dan melarikan diri ke Bangladesh. Namun kem-kem pelarian di negara itu hanya memberikan sebuah kemiskinan, kelaparan dan penyakit. Gambar-gambar ini sudah cukup untuk memeberikan idea tentang keadaan mereka yang berada di kem pelarian Rohingya.
Selepas perletakan jawatan Ne Win pada tahun 1988, pelbagai pentadbiran awam dan militari telah silih berganti, dan lebih dari 3,000 orang telah dibunuh dalam satu kebangkitan yang tercetus ketika itu. Pada 1992, kira-kira 700 orang umat Islam minoriti yang tinggal di sempadan Bangladesh telah dihapuskan. Lebih dari 1,000 orang menjadi mangsa pembunuhan pada tahun 1994.
Kes wanita Islam yang dirogol dan didera di Myanmar masih terdapat dalam laporan hak-hak asasi manusia setiap tahun. Namun disebabkan oleh faktor-faktor tertentu, Barat masih terus membisu.
DIMENSI-DIMENSI KEKEJAMAN
KEDIAMAN YANG MUSNAH
10-15,000
BERPINDAH
SEKITAR 2 JUTA
PEMBUNUHAN BERAMAI-RAMAI
200,000
ROGOL
20,000
BUNUH
20,000
TAHANAN
40,000
MASJID DIBAKAR DAN DIMUSNAHKAN
5,000
HILANG
50,000
MENGANGGUR ATAU TIADA TEMPAT BERGANTUNG
1 JUTA
Salah satu masalah paling berat yang sedang dihadapi oleh umat Islam yang tidak bersenjata di Myanmar ialah mereka tidak berupaya untuk berkomunikasi dengan dunia luar untuk memberitahu apa yang sedang terjadi ke atas diri mereka. Ini kerana kerajaannya menghalang seseorang dari memasuki negara itu dengan jalan darat, dan walaupun seseorang boleh memasukinya dengan jalan udara, namun banyak kawasan yang ditutup kepada orang asing. Adalah sesuatu yang sukar untuk mengetahui perkara-perkara yang dikenakan ke atas umat Islam Myanmar.
Satu lagi layanan buruk yang dikenakan berlaku pada tahun 1990-an, yang mana ketika itu kira-kira 200,000 orang lagi terpaksa melarikan diri ke Bangladesh.61 Para pelarian yang lari dari penindasan Myanmar kemudian mendapati mereka sedang berhadapan dengan sebuah drama kemanusiaan yang menakutkan. Bangladesh merupakan sebuah negara Islam yang miskin, dan ia tidak mampu memberikan makanan dan tempat perlindungan kepada pelarian dari Myanmar, walaupun ia membenarkan kemasukan mereka.
Di sebalik kemiskinan teruk di kem-kem pelarian Rohingya (bawah), penganut Budda di Myanmar menikmati kehidupan yang mewah.

Semua umat Islam mesti menghayati tangisan dan jeritan meminta tolong dari Myanmar dan juga Bangladesh. Di dalam al-Quran, Allah mengarahkan manusia supaya membantu orang-orang miskin, mereka yang dihalau dari rumah dan juga mereka yang memerlukan. Ia menjadi satu tugas bagi setiap umat Islam untuk menyediakan persekitaran yang selesa kepada mereka yang dihalau, sedia berkorban untuk membantu mereka, dan memberikan sokongan serta menunjukkan rasa kasih sayang kepada mereka. Contoh-contoh tersebut telah diberitahu di dalam al-Quran, yang telah mem­berikan contoh terbaik yang patut diikuti oleh umat Islam terhadap mereka yang diusir dari tempat tinggal masing-masing:
Bagi para fakir yang ber­hijrah, yang diusir dari kampung halaman dan dari harta benda mereka, (kerana) men­cari kurnia Allah dan keredaan-Nya, dan me­reka menolong Allah dan rasul-Nya. Mereka itulah orang-orang yang benar. (Al-Hasyr, 59:8)
Dan orang-orang yang telah berada di kota Madinah dan telah ber­iman (iaitu orang-orang Ansar) sebelum (ke­datangan) mereka (iaitu orang-orang Muhajirin), mereka mencintai orang yang berhijrah kepada mereka. Dan mereka tidak menaruh keinginan dalam hati mereka terhadap apa-apa yang diberikan kepada mereka, dan mereka mengutamakan (orang-orang Muhajirin), atas diri mereka sendiri. Sekalipun mereka memerlukan (apa yang mereka berikan itu). Dan siapa yang dipelihara dari kekikiran dirinya, mereka itulah orang-orang yang beruntung. (Al-Hasyr, 59:9)
Seperti yang telah diwahyukan di dalam Al-Quran, orang-orang mukmin adalah mereka yang menghulurkan tangan persaudaraan kepada seseorang yang mereka cintai. Apabila sikap yang tersangat mulia ini dapat diamalkan di seluruh dunia, maka sudah pastilah masalah kemiskinan dan juga masalah-masalah lain yang sedang dihadapi oleh para pelarian akan dapat diatasi.
FILIPINA, Umat Islam Bangsa Moro dan Si Kanibal Marcos
Ramai di antara kita yang tidak sedar bahawa Fili­pina mempunyai jumlah penduduk Islam yang agak ramai, dan mereka sedang bergelut dengan pe­nin­dasan, penderaan dan polisi tidak ber­peri­ke­manusiaan selama ber­tahun-tahun. Namun umat Islam di Filipina telah dibunuh dengan kejam, dan mereka sedang menanti bantuan dari umat Islam di seluruh dunia bagi membolehkan mereka terus hidup.
Kira-kira 90 peratus daripada populasi Filipina adalah Katolik, walaupun situasi se­be­narnya begitu berbeza se­kali di bahagian selatan pulau, yang mana popu­lasinya adalah 70 peratus Katolik dan 30 peratus Islam. Umat Islam terdiri dari bangsa Moro di Min­danao dan juga umat Islam yang tinggal di Sulu. Kira-kira 97 peratus dari­pada penduduk Sulu ber­agama Islam.
Punca konflik di Fili­pina bermula pada tahun 1946, apabila negara ini mendapat kemerdekaan selepas Amerika meme­rintah selama bertahun-tahun. Tidak seperti umat Islam di Mindanao dan Sulu, kebanyakkan masya­rakat Kristian di Filipina tidak memberikan sebarang tentangan terhadap kolonialis Amerika dan menerima gabenor yang mentadbir kehidupan mereka. Amerika telah mendidik para pemimpin Filipina bagi membentuk sebuah pentadbiran yang pro-Amerika. Apabila Amerika berundur, ia telah meninggalkan kuasanya di bawah tangan Filipina, dan menerima Mindanao dan Sulu sebagai sebahagian daripada Filipina. Jadi, umat Islam di situ berada di bawah undang-undang Filipina.
Filipina telah mengenakan polisi-polisi yang mampu mengu­kuhkan lagi kekuasaannya, dan secara khususnya telah mengambil tanah umat Islam Moro. Undang-undang baru telah membolehkan Filipina merampas 24 hektar tanah, tetapi ia telah dihadkan kepada 10 hektar bagi kes Moro. Kesannya, berlakulah perpindahan rakyat Filipina ke kawasan yang mempunyai umat Islam sebagai penduduk majoriti. Pada dekad di antara 1966 dan 1976, 3.5 juta pendatang rakyat Filipina tinggal di kawasan tanah umat Islam.
Pada 1 Mei 1968, Gabenor Cotabato, Datu Udtog Matalam telah menubuhkan "Pergerakan Kemerdekaan Muslim" (MIM), yang bertujuan untuk mencari kompromi dengan kuasa pusat di bawah pemerintahan Presiden Ferdinand Marcos. Namun demikian, ia gagal mendapat sokongan, dan tidak lama kemudian hilang begitu sahaja. Kerajaan pusat tidak menimbangkan langsung perkembangan itu, sebaliknya melihat ia sebagai satu peluang untuk meningkatkan lagi polisi-polisi anti-Moro. Pada masa yang sama, Marcos mengisytiharkan dirinya sebagai ketua Pasukan Bersenjata Filipina. Tidak lama selepas itu, beliau mengumumkan undang-undang tentera, dengan ber­justifikasi bahawa ia bertujuan untuk menghapuskan pergerakan komunis dan penentang Islam di negara itu. Beliau kemudian menggantung Perlembagaan, dan akhirnya menjadi seorang diktator yang memerintah keseluruhan negara.
Sejak waktu itu, Marcos telah memulakan pembunuhan beramai-ramai terhadap umat Islam, yang telah memulakan perjuangan menuntut kemerdekaan. Kira-kira 50,000 orang Islam telah dibunuh dengan kejam, kemungkinan termasuk 10,000 orang wanita dan kanak-kanak. Kumpulan penentang Islam bagi menjatuhkan Marcos telah dikelolakan oleh anak-anak muda yang mendapat latihan di Timur Tengah pada tahun 1960-an. Kemunculan secara tiba-tiba dan menyeluruh Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) di bawah pimpinan Nur Misuari telah menumbangkan rejim Marcos. Berlaku pertempuran berdarah di antara kerajaan dan ahli-ahli MNLF.


Sejarah umat Islam Moro di Filipina dipenuhi dengan keganasan dan pembunuhan beramai-ramai. Sewaktu rejim Marcos berkuasa, kampung-kampung dibakar, masjid-masjid yang terdapat orang di dalamnya dibom, dan rogol beramai-ramai dilakukan. Malah sehingga kini serangan dan penderaan masih diteruskan, dan konflik telah berlaku selama bertahun-tahun. Apa yang umat Islam Moro mahukan cuma kedamaian dan keselamatan, dan sebuah negara yang bebas yang mana mereka dapat hidup dengan agama yang dianuti.


Marcos telah menubuhkan unit-unit pengganas yang dilatih khas bagi menamatkan sokongan terhadap puak penentang dalam negaranya, terutama sekali MNLF. Kumpulan-kumpulan ini, paling kejam dipanggil Ilaga, telah melakukan tindakan-tindakan yang sangat mengerikan. Majalah berbahasa Turki Nokta telah menceritakan tentang perihal mereka di dalam sebuah artikel yang bertajuk "Kanibal Marcos":
Encik Kassam telah dihentak. Beberapa cebisan-cebisan otak terkeluar dari tengkoraknya. Lelaki bersenjata yang lain berebut-rebut untuk mendapatkan cebisan-cebisan tersebut. Ahli-ahli kumpulan Ilaga berpendapat bahawa meminum darah dan memakan daging musuh mampu membuatkan mereka kebal. Satu kekebalan yang dahsyat!... Ahli kumpulan Ilaga, yang ditubuhkan pada tahun 1970-an sewaktu kebangkitan Islam, telah mendera beribu-ribu umat Islam sehingga mati. Mereka percaya bahawa mereka mendapat kuasa yang sangat luar biasa dengan meminum darah dan memakan daging manusia yang telah mereka bunuh... Mereka akan menyerang kampung-kampung dan membunuh penduduk dengan kejam. Serangan-serangan itu kemudiannya berubah menjadi rampasan dan rompakan. Sebuah botol yang dipenuhi dengan telinga manusia telah ditemui di sebuah perkampungan Mindanao baru-baru ini, para pemiliknya masih belum lagi dikenal pasti.63
Perkampungan-perkampungan Islam telah dibakar sewaktu serangan tersebut, dan harta benda milik bangsa Moro dirompak. Namun hanya sedikit yang berubah apabila Marcos ditumbangkan dalam satu pemberontakan pada tahun 1986. Penggantinya, Corazon Aquino bercadang untuk menceroboh dan menghapuskan umat Islam dengan cara yang lain. Sewaktu pemerintahan Aquino, operasi ketenteraan dan pemberontakan telah diperkuatkan dan kerajaan secara terbuka mengisytiharkan peperangan menentang pergerakan-pergerakan Islam. "Polisi perang total" telah dilakukan oleh Presiden Aquino, yang mengakibatkan penyingkiran lebih sejuta rakyat Filipina. Bangunan-bangunan sekolah dan gereja digunakan sebagai tempat berlindung keluarga-keluarga yang melarikan diri.64
Penentangan ke atas umat Islam diteruskan selepas Aquino. Perhubungan kemudian menjadi baik buat beberapa ketika, sebelum ia menjadi tegang semula apabila masjid-masjid dibom pada tahun 1994. Di sebaliknya, hakikat bahawa sebuah pertubuhan radikal dan prokeganasan yang menindas asas-asas Islam pada masa yang sama telah memburukkan lagi keadaan. Penyelesaian terhadap masalah di Filipina hanya dapat ditemui sekiranya Manila meninggalkan polisi-polisi lapuknya yang bersifat menindas. Manila juga mesti mengiktiraf hak-hak umat Islam di bahagian selatan, dan jika pergerakan-pergerakan teroris yang muncul dengan mendakwa mereka mewakili umat Islam tetapi sebenarnya hanya membawa kerosakan, dapat dihentikan dari terus berleluasa.
KEMBOJA, Kebencian Terhadap Islam Selama Bertahun-Tahun
Kemboja adalah sebuah negara yang kecil dan miskin di Asia, yang berada di antara India dan China, di sebuah kawasan yang dipanggil Indochina. Kebanyakan rakyatnya buta huruf dan selama berabad-abad bergantung kepada pertanian untuk meneruskan kehidupan. Elemen paling penting dalam pertanian ini ialah tanaman padi beras yang banyak terdapat di negara itu.
Majoriti masyarakatnya terdiri daripada bangsa Khmer, sebuah kumpulan etnik tertua di kawasan tersebut. Terdapat ramai juga minoriti Cina dan Budda di situ. Umat Islam juga membentuk sebuah minoriti yang lain.




Umat Islam di Kemboja dilarang hidup berlandaskan agama, menggunakan abjad Arab, ataupun menunaikan solat. Sesiapa yang melanggar larangan-larangan tersebut akan dihukum dan dibelasah teruk. Rakyat menjadi semakin miskin: Harta benda peribadi telah dirampas oleh kerajaan dan hak-hak mereka dicabuli. Mereka mati akal untuk menentang penindasan kerajaan. Satu-satunya cara yang mereka ada ialah melarikan diri. Gambar ini menunjukkan umat Islam yang lari dari penindasan di bawah keadaan yang amat susah.
Islam datang ke Kemboja melalui jalan laut, dibawa oleh pedagang dan pelayar Islam. Kebanyakan umat Islam di Kemboja berasal dari Thailand, daripada sebuah kerajaan yang dimusnahkan dalam peperangan dan kebangkitan. Walau bagaimanapun, sehingga tahun 1975, masih terdapat kira-kira 75 buah masjid yang bersejarah di negara ini.
Kita sudah pun meng­kaji kebencian komunisme terhadap agama dan pem­bunuhan kejam yang di­lakukan oleh komunis ke atas tanah penduduk Islam. Contohnya, rejim Maoist Khmer Rouge ada­lah rejim yang tersangat kejam di Kemboja. Ia men­dapat kuasa melalui so­ko­ngan orang-orang Cina. Sewaktu rejim ini ber­kuasa, terdapat usaha-usaha untuk memisahkan umat Islam dari agama mereka sendiri.
Khmer Rouge adalah sebuah kumpulan komunis yang dibentuk dan dipimpin oleh Maoist yang digelar Pol Pot. Mereka menghabiskan masa bertahun-tahun di dalam hutan Kemboja sambil mengimpikan sebuah kekuasaan, dan akhir­nya pada tahun 1975 ia menjadi kenyataan. Selepas menawan negara itu, mereka telah menu­buh­kan sebuah rejim yang kejam dan totalitarian (Pent: iaitu sistem peme­rintahan yang memiliki sebuah parti politik sa­haja), yang mana ia tidak pernah dilihat sebelum ini. Rejim Khmer Rouge me­mutuskan tugas utama komunis adalah untuk bekerja bermatia-matian di sawah padi, dan dengan itu memaksa keseluruhan masyarakat di negara tersebut berkerja untuk mereka. Berpuluh-puluh ribu rakyat yang hidup di bandar-bandar - ahli politik, pegawai kerajaan, guru dan golongan intelektual - telah dihantar ke perkampungan dan dipaksa berkerja dalam keadaan yang serba kekurangan.
Berehat sebentar semasa waktu berkerja, memakan hasil tuaian tanpa kebenaran walau sebahagian kecil sahaja, ataupun meng­amalkan sebarang bentuk agama dianggap sebagai "aktiviti-aktiviti yang menentang kerajaan," dan dengan itu pembunuhan pun bermula. Di antara tahun 1975 dan 1979, kawasan sawah padi telah bertukar menjadi sebuah "padang pembunuhan." Kira-kira 3 juta orang daripada populasi total seramai 9 juta orang telah dibunuh, sama ada ditembak, atau dikapak di kepala, atau dicekik, atau dibiarkan mati kelaparan.
Seperti disemua negara-negara komunis yang lain, polisi kejam yang menindas umat Islam telah diwujudkan. Perang telah diisy­tiharkan ke atas nilai-nilai keagamaan rakyat, dan rejim terbabit telah melakukan kezaliman dalam usaha mereka memalingkan rakyat dari agama yang dianuti. Beratus-ratus ribu umat Islam telah dibunuh. Statistik berikut sudah cukup untuk membuktikannya: Kira-kira 200,000 umat Islam hidup di Kemboja pada hari ini. Sebelum revolusi komunis, angkanya adalah 800,000 orang, iaitu umat Islam mewakili seramai 7 peratus dari keseluruhan populasi.
The Black Book of Communism telah menggambarkan kebuasan yang dilakukan oleh rejim Khmer Rouge ke atas umat Islam Cham:
Pada tahun 1973, masjid-masjid dirobohkan dan solat diharamkan di dalam zon bebas. Tindakan sedemikian menjadi lebih meluas selepas bulan Mei 1975. Al-Quran dikumpulkan dan dibakar, dan masjid-masjid sama ada telah ditukar menjadi bangunan lain atau diranapkan. 13 orang pembesar Islam telah dihukum pada bulan Jun, setengahnya kerana pergi bersolat dan tidak menghadiri penyatuan politik, yang lain pula kerana berkempen mendapatkan hak mengadakan majlis perkahwinan keagamaan. Ada lagi yang lebih dahsyat: kira-kira 1000 orang yang pergi mengerjakan haji ke Makkah, hanya 30 orang sahaja yang berjaya hidup. Tidak seperti rakyat Kemboja yang lain, bangsa Cham sering memberontak, dan ramai di antara mereka yang mati dalam pembunuhan beramai-ramai dan serangan balas yang tercetus berikutan kebangkitan tersebut. Selepas pertengahan tahun 1978, rejim Khmer Rouge memulakan proses penghapusan sistematik ke atas masyarakat Cham, termasuklah wanita dan kanak-kanak... Ben Kiernan mengira bahawa kadar keseluruhan kematian di kalangan Cham ialah 50 peratus.65
Kira-kira 70 peratus umat Islam yang tinggal di ibu negaranya, Phnom Penh, telah meninggalkan negara ini disebabkan oleh kekejaman rejim Khmer Rouge dan terpaksa mencari perlindungan di negara-negara jiran seperti Thailand, Malaysia dan Laos. Apabila Vietnam menakluk Kemboja pada tahun 1979, kezaliman Khmer Rouge pun berakhir. Namun, penindasan ke atas umat Islam masih juga tidak reda. Kerajaan Vietnam yang disokong oleh Soviet, terus melakukan kekejaman ala Khmer Rouge. Mereka mengenakan polisi yang benar-benar menekan bagi menghapuskan Islam secara total. Beberapa tempat ibadah telah dimusnahkan dan tokoh-tokoh keagamaan telah dibunuh. Kebanyakan dari mereka telah diseksa dengan kejam di dalam penjara dan dijadikan buruh paksa.
Sehingga hari ini sekali pun, adalah menjadi satu kesalahan untuk menyebarkan Islam atau untuk berkomunikasi dengan rakyat Kemboja di negara-negara lain. Ibadah secara berjemaah diharamkan. Vietnam turut memusnahkan semua artifak-artifak bersejarah yang mereka temui. Ketika ini terdapat hanya 20 buah masjid kecil yang masih berdiri di Kemboja.
Hari ini, berpuluh-puluh ribu ketulan tulang manusia dan tengkorak mangsa bunuh rejim Khmer Rouge dipamerkan di sebuah muzium di Phnom Penh. Seperti juga Chechnya dan Turkestan Timur, peristiwa di Kemboja telah mendedahkan kepada dunia wajah sebenar kezaliman komunis.
TANZANIA: Tekanan Tidak Dapat Menghentikan Kebangkitan Kesedaran Islam
Umat Islam tiba di Tanzania yang terletak tengah-tenggara Afrika melalui sub-benua India. Kesan daripada aktiviti-aktiviti dakwah, masyarakat tempatannya telah meninggalkan gaya hidup kafir dan lalu memeluk agama Islam. Agama Islam dianuti oleh kira-kira 120 buah suku kaum di Tanzania.
Walaupun lebih separuh daripada masyarakatnya beragama Islam (dalam 55 peratus), umat Islam masih dilayan seperti puak minoriti. Masyarakat Kristian yang men­jadi minoriti memegang tampuk pemerintahan. Umat Islam me­wakili lebih dari separuh po­pulasi Tanzania, namun negara ini masih digambarkan sebagai separuh Kristian dan separuh "agama tempatan." 9 juta umat Islam sedang berhadapan dengan polisi sistematik Kritianisasi. Para pelajar sekolah menengah yang gagal mengamalkan ajaran Kristian akan disingkirkan. Dengan cara yang sama, badan-badan dan pertubuhan-per­tubuhan Islam adalah di­larang, begitu juga dengan penyebaran Islam. Kerajaan juga turut meng­haramkan bahasa Arab dan me­nunaikan haji. Walaupun kera­jaan Tan­zania melakukan polisi-polisi sedemikian, jumlah umat Islam di sana terus meningkat setiap hari.
Salah satu daripada polisi kerajaan yang bermatlamat untuk mengkristiankan masya­rakat adalah dengan me­nu­buhkan sistem kepercayaan Islam/Kristian di bawah nama Pergerakan Pembaharuan Islam. Rakyat adalah alat, dan sebagai sebahagian daripada polisi ini, mereka diberitahu supaya tidak perlu mengamalkan asas-asas Islam dengan begitu banyak. Mereka yang menentang ke­percayaan yang mengelirukan ini akan dipenjara, atau dibunuh, atau dihalau keluar dari negara.
SRI LANKA, Terorisme yang Ditujukan Terhadap Umat Islam
Sri Lanka adalah sebuah negara kepulauan yang terletak di Lautan Hindi yang memiliki umat Islam seramai kira-kira 2.6 juta orang. Pihak gerila Tamil yang melancarkan peperangan menentang pemerintahan kadang-kala turut menyerang perkampungan Islam dan membunuh penduduk yang tidak bersalah. Dalam satu pembunuhan beramai-ramai terbaru yang berlaku di perkampungan Mawanella, ia telah dimusnahkan sama sekali pada 3 Mei 2001. Umat Islam Sri Lanka telah membina sebuah laman web bagi membolehkan suara mereka didengari oleh dunia luar, dan di dalamnya mereka cuba menggambarkan penderitaan yang sedang mereka alami seperti berikut:
...Kami umat Islam, secara asas­nya, adalah sebuah masyarakat yang menjalankan aktiviti per­niagaan dan perdagangan, de­ngan per­kembangan terkini kami menceburkan diri dalam pelbagai lapangan profesional. Sumbangan kami terhadap pem­bangunan dan perkembangan Sri Lanka adalah sentiasa po­sitif dan kami semenjak dahulu lagi telah membentuk pehubungan yang mesra dan rapat dengan semua komuniti yang tinggal bersama-sama kami.
Isu kumpulan pemisah Hari­mau Tamil telah mendatangkan kepayahan dan azab kepada ramai umat Islam yang tinggal di kawa­san-kawasan yang terjejas di ba­hagian Utara dan Timur. Terkini, sebahagian kecil masyarakat Sin­halese turut mengangkat senjata bagi menentang umat Islam, menyerang perniagaan kami, masjid-masjid dan juga kehidupan peribadi kami


Rejim Kristian di Tanzania melakukan kezaliman melampau bagi menentang masyarakat Islam majoriti. Satu-satunya sebab terjadinya pergaduhan seperti yang ditunjukkan adalah kerana mereka beragama Islam. Beberapa orang telah diserang polis kerana mereka memiliki Al-Quran di dalam kereta ataupun kerana melakukan solat berjemaah. Orang muda yang mahu mempelajari agama telah dihalang. Menyebarkan Islam, mempelajari bahasa Arab dan pergi menunaikan Haji adalah diharamkan di Tanzania, walaupun jumlah umat Islam di sana semakin bertambah setiap hari.
Kami adalah masyarakat minoriti yang mencari kehidupan dan mahukan kewujudan keamanan dalam setiap lapisan masyarakat, memastikan kami dibenarkan untuk hidup dengan agama kami dan mengekalkan pendirian sosial yang sudah dilakukan sejak dahulu lagi... Kami bukannya sebuah masyarakat yang sukakan perpecahan dan keganasan seperti Tamil. Kami tidak suka menentang dan menunjukkan permusuhan terhadap masyarakat-masyarakat yang lain... Apa yang kami cari ialah kehidupan penuh sopan supaya kami dapat hidup aman dan selesa, meneruskan penyembahan kami terhadap Yang Maha Besar, menjalankan perniagaan dan profesion kami, dan mendidik serta membesarkan anak kami dengan cara yang mulia.66
Petikan di atas adalah bersumberkan kesedaran umat Islam Sri Lanka. Namun selama bertahun-tahun mereka masih gagal mencapai keamanan dan keselamatan yang dicari-cari. Dalam serangan terbaru sebagai contoh, kumpulan yang bersifat perkauman Budda Sri Lanka telah mengumpulkan al-Quran dan buku-buku Islam lain, termasuklah koleksi yang sukar dicari, teks yang berabad-abad lamanya, dan membakar kesemuanya di hadapan sebuah masjid. Dua buah masjid telah dibakar hangus dan lebih dari 90 peratus bangunan milik umat Islam telah dimusnahkan.
Umat Islam Sri Lanka sering diserang, didera dan dirompak setiap hari. Di dalam laman web yang mereka bina bagi membolehkan suara mereka didengari oleh dunia luar, mereka mengatakan apa yang mereka mahu ialah kebebasan untuk hidup berlandaskan agama, membesarkan anak-anak mereka dalam keadaan beriman, dan juga sebuah kehidupan yang aman dan selamat. Namun demikian, siri-siri serangan semakin menjadi perkara rutin dalam kehidupan mereka sehari-hari.
Ali Sahir Moulana, seorang ahli parlimen pembangkang yang beragama Islam memberitahu bahawa 3 buah masjid, 60 buah rumah, 80 buah kedai dan 2 stesen minyak milik umat Islam telah dibakar oleh kumpulan perusuh. Beliau turut mendakwa bahawa serangan-serangan tersebut dilakukan bertujuan untuk memusnahkan ekonomi umat Islam di Mawanella.
PATTANI, Kezaliman yang Tidak Berperikemanusiaan yang Dilakukan Ke Atas Umat Islam Thailand
Kawasan pergunungan dan perhutanan Pattani adalah yang terkaya di Thailand, dan ia menjadi sumber 35 peratus daripada keseluruhan eksport negara. Namun demikian, umat Islam Patani, yang mem­bentuk kira-kira 10 peratus daripada keseluruhan populasi seramai 55 juta orang, sedang ditekan dan ditindas sejak 200 tahun, dan kini sedang berhadapan dengan polisi genocide.
Penderitaan umat Islam Pattani yang pertama bermula pada tahun 1782 apabila Dinasti Rama mula berkuasa di Pattani. Dinasti ini memindahkan ibu negaranya ke Bangkok dan seterusnya mewujudkan sebuah sistem pentadbiran moden. Pada waktu itu, pergaduhan berlaku di antara umat Islam Pattani dan masyarakat tempatan yang dikenali sebagai orang-orang Siam, dan ia berlarutan selama beberapa hari. Banyak bandar-bandar Pattani yang habis dibakar, ibu pejabat militarinya dimusnahkan, dan kira-kira 4,000 orang umat Islam Pattani dipenjarakan oleh Siam sepanjang tempoh berlakunya pergaduhan itu.
Siam dengan kejam mendera mereka yang dipenjarakan, membawa mereka ke Bangkok dengan mengikat di antara satu sama lain dengan tali yang yang dikenakan pada telinga dan kaki mereka dengan menggunakan jarum, dan memaksa mereka bekerja mengorek terowong tanpa diberikan sebarang peralatan dan perkakasan.67 Sultan Pattani turut dibunuh dengan kejam oleh Siam. Thailand telah terbahagi kepada 7 kawasan selepas peperangan, dan Pattani dipaksa membayar cukai, dan berada selama 70 tahun yang berikutnya di bawah kawalan Siam. Umat Islam Pattani mendakwa bahawa mereka bukannya berbangsa Siam, dan mereka juga bukannya berbangsa Thailand, tetapi lebih kepada Indonesia dan Malaysia. Sebenarnya, mereka menggunakan Bahasa Melayu, iaitu bahasa umat Islam Malaysia. Walaupun bahasa tersebut telah ditulis dalam huruf Arab selama beratus-ratus tahun, mereka telah dipaksa untuk meng­gunakan huruf Roman oleh kerajaan Thailand.
Pada tahun 1909, Siam menganugerahkan kepada Pattani sesuatu yang konon­nya dipanggil kemerdekaan, walaupun polisi menindas kerajaan Thailand tidak ber­ubah sama sekali. Umat Islam Pattani bangkit bagi menuntut kemerdekaan se­benar selama berkali-kali, tetapi pasti dikalahkan de­ngan kejam sekali, lalu me­nyebabkan mereka ber­hijrah beramai-ramai ke Malaysia.
Lebih dari 36,000 umat Islam telah dibunuh setakat ini dalam pembunuhan di Patani. Jumlah mereka yang cedera dan cacat adalah jauh lebih tinggi. Umat Islam Patani masih berjuang bagi mempertahankan identiti keIslaman mereka.
Para pemerintah Thai terus menjalankan polisi mene­kan dan asimilasi yang bertujuan untuk me­ma­dam­kan identiti Islam Pattani. Tindakan yang pertama ber­laku pada tahun 1932, apabila pertubuhan-pertubuhan pendidikan Islam telah di­haramkan dari menjalankan sebarang kegiatan. Polisi penghapusan yang lebih besar telah dimulakan pada tahun 1944, dan mengakibatkan umat Islam Pattani dan ahli keluarga mereka dibunuh dengan kejam oleh para penganut Budda. Pengamalan rukun-rukun Islam dilarang sama sekali, dan ajaran Budda mula disebarkan kepada masyarakat. Ajaran Buddhisme menjadi wajib di sekolah-sekolah, dan para pelajar Islam dipaksa mengamalkan ajaran-ajaran Budda.
Selama bertahun-tahun, para pemerintah Thailand telah melakukan pembunuhan beramai-ramai ke atas umat Islam Pattani. Pada tahun 1944, 125 buah keluarga Islam yang tinggal di Belukar Samak telah dibakar hidup-hidup. Polisi-polisi asimilasi yang dilaksanakan oleh Thailand dapat dilihat dan dirasai dalam setiap aspek kehidupan. Banyak menara-menara yang diruntuhkan di Pattani.
Sebagai sebahagian daripada polisi asimilasi ini, keseimbangan demografi di kawasan Pattani turut diubah apabila orang-orang Budda digalakkan supaya berpindah ke sana. Patung Budda terbesar di Thailand telah ditegakkan di Pattani, dan umat Islam dipaksa supaya menyembahnya. Sesiapa yang enggan telah dibunuh atau dicampakkan ke Kota River.
Pada masa yang sama, tempat perlindungan pejuang kebebasan Pattani telah diruntuhkan oleh kerajaan Thailand dan beratus-ratus rakyat Pattani yang tidak bersalah telah didera. Para ulama Islam yang terkenal telah mati di bawah keadaan yang sangat mencurigakan di pusat-pusat kesihatan milik kerajaan Thailand. Pembunuhan dan kehilangan yang tidak berkesudahan sudah menjadi darah daging kehidupan.
Perjuangan bagi mendapatkan kemerdekaan oleh umat Islam Pattani, yang sedang mengalami penderitaan, bermula selepas Perang Dunia II dan berterusan sehingga ke hari ini.

ไม่มีความคิดเห็น: