Baru pulang dari tiga wilayah bergolak - Narathiwat, Yala dan Pattani, saya boleh membuat kesimpulan mudah, inspirasi angin damai di selatan Filipina itu tidak sampai di selatan Thai. Aneh, tapi realitinya hampir 1.5 juta penduduknya, 80 peratus beragama Islam sama ada enggan, tidak mahu atau tidak ambil peduli tentang apa yang berlaku di Selatan Filipina.
Peristiwa damai di selatan Filipina bukan satu-satunya sebab saya mahu menyelak jendela dari perbatasan Malaysia-Thailand untuk menjenguk pergolakan selatan Thai. Lebih awal, sebelum menyeberang, novel “The Murder Case of Tok Imam Storpa Karde” karya Siriworn Kaewkan saya selak, baca dengan mata yang keliru.
Selepas selesai membaca karya terjemahan Marcel Barang itu, berkali-kali saya katakan kepada hati, saya bukan mahu cari kebenaran, saya cuma mahu membuat laporan selain kumpul maklumat tentang terbaru dari selatan Thai.
Walaupun sifatnya fiksyen kerana namanya novel, ia tidak mustahil bergerak atas latar cerita berdasarkan kisah yang benar-benar berlaku. Ya, kisah pembunuhan Imam sebagaimana digambarkan dalam novel itu, ada terjadi, itu diakui pihak berkuasa. Tetapi, sami juga dibunuh.
Kalau tiada kes tembak di Narathiwat, ada cerita penyembelihan di Yala. Jika kedua-dua wilayah itu terhenti sementara daripada laporan keganasan, ada pula wayang pemberontakan di Pattani. Apatah lagi, konflik di selatan Thai sering dilihat secara simpati sebagai perjuangan gerakan pemisah yang mahu membebaskan tiga wilayah, lebih-lebih lagi Pattani, supaya memperoleh hak untuk hidup secara berdaulat dan bebas.
Kalau dilihat dalam konflik selatan Thailand pada hari ini, dapat diungkapkan bahawa ia pergolakan sebuah wilayah minoriti yang enggan ditenggelamkan identiti dan hak warisannya untuk tunduk menurut kekuasaan majoriti. Di satu pihak yang lain pula, ia boleh dilihat kekerasan yang dilakukan kerajaan dari wilayah majoriti untuk memaksakan mereka ke atas bangsa kalah perang.
Selatan Thai yang merupakan sebahagian daripada kerajaan Melayu Pattani telah kalah dan ditundukkan kerajaan Siam yang berpusat di Bangkok.
Namun, realitinya juga, pada hari ini, corak politik sudah jauh berubah. Dalam kes di selatan Thai, konsep negara bangsa bukan lagi didirikan atas penaklukan atau hegemoni. Perjanjian Bangkok dan London menjelang zaman moden, membolehkan sempadan yang membelah dua bekas wilayah Pattani termasuk Kelantan pada satu ketika dahulu. Sebelah utara diiktiraf hak Siam, sementara Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu di utara Semenanjung diletakkan di bawah pengaruh British.
Perkara-perkara ini mula difahami kelompok besar penduduk di tiga wilayah di selatan Thai. Bahawa , mereka kini bangsa Thai bukan lagi Siam, di mana kaumnya bukan sahaja Siam tetapi Cina dan Melayu. Thailand itu sendiri bermaksud “negara bebas”, maka seharusnya kaum yang menghuni di Thailand seharusnya berasa bebas dan merdeka.
Disebabkan itu barangkali, keganasan yang tercetus hasil daripada sebab-sebab yang bercampur gaul antara sejarah serta realiti hari ini, seboleh mungkin dikekang pihak berkuasa dalam lingkungan batas diplomatik sebagai isu dalaman negara. Namun, dalam faham, kehendak yang tidak boleh ditahan-tahan kalangan penghuninya yang mahukan kedamaian, tidak boleh juga diketepikan.
Kalau penduduk sudah mula faham, apa yang diharapkan mereka cuma, cepat-cepat aman, supaya mereka tidak akan melankolik lagi merindui kedamaian. Inilah yang sebenarnya pesan yang dihantar mereka kepada saya dalam lawatan ke tiga wilayah berkenaan baru-baru ini.
Harap mereka, pesan itu kemudiannya, segerakan kirim, jangan sampai rehat dahulu, kepada dunia. Sungguh, sebagai jiran, dari jendela perbatasan, saya jadi melankolik.
Dan, melankoliknya saya itu dipanjangkan di pentas yang lebih serius - penghasilan dokumentari khas “Resah Damai Selatan” disiarkan di Astro Awani, Isnin, 21 Januari, jam 9 malam.
Tinggi harapan saya, rasa melankolik saudara kita di selatan Thai dikongsi bersama, atas nama kerinduan untuk damai dunia. |
ไม่มีความคิดเห็น:
แสดงความคิดเห็น