Translate

20/2/56

Bingkisan Anak Bani Jawi

Sejarah Awal Patani

Banyak pandangan mengenai bilakah wujudnya negeri bernama Patani. Berdasarkan Kitab Merong Mahawangsa, Patani adalah sebahagian dari Langkasuka yang berpusat di Kedah. Sejarah Patani pula mendakwa kewujudan Patani itu setelah lenyapnya Empayar Langkasuka. Sesungguhnya sejarah Patani telah dikaburkan oleh pihak penjajah iaitu Inggeris dan Siam secara terancang, bertujuan supaya sejarah baru yang dihasilkan mereka tidak bercanggah dengan sejarah baru yang dicipta oleh mereka. Sedangkan Patani adalah asalnya sebuah negeri milik orang Melayu yang terkenal dengan kelahiran tokoh-tokoh ulama Islam terkemuka Nusantara.


Berasaskan Tarikh Patani, boleh disimpulkan bahawa negeri Kedah telah wujud terdahulu daripada Patani. Kedah pula berada di bawah pentadbiran Empayar Langkasuka, juga merupakan pusat pentadbiran awal empayar tersebut. Pemerintahan Empayar Langkasuka telah diambil alih oleh kerajaan Empayar Sriwijaya pada kira-kira tahun 750 Masehi. Pusat pentadbiran Langkasuka kemudiannya telah dipindahkan ke sebelah timur dan berpusat negeri Jaya. Raja-Raja yang memerintah di negeri-negeri di Langkasuka adalah berketurunan Sri Wijaya termasuk negeri Kedah. Kerajaan Sri Wijaya tidak memberi tumpuan secara langsung kepada Kedah kerana aktiviti perniagaan di sebelah timur lebih rancak.

Negeri bernama Patani muncul berdasarkan kisah yang menyatakan bahawa Raja Antira Wangsa (Raja Indera Wangsa) telah memindahkan pusat pemerintahannya dari Kota Mahligai ke sebuah tempat yang kemudianya dinamakan Patani. Kemungkinan kisah ini berlaku pada sekitar tahun 800 Masehi. Patani juga adalah kesinambungan daripada Empayar Langkasuka kerana raja-rajanya adalah berketurunan Sri Wijaya yang kemudiannya meneruskan hubungan dengan Kerajaan Sailendra dan seterusnya Kerajaan Majapahit. Selain itu ramai ahli sejarah menyatakan Kerajaan Langkasuka berakhir setelah tiada lagi Keturunan Raja Seri Wangsa yang memerintah Patani pada abad ke-17 Masehi.

Raja Indera Wangsa merupakan cucu kepada Raja Jaya Wangsa, iaitu Maharaja Empayar Sri Wijaya Sri Wijaya  (sekitar tahun 750M) yang memerintah dari Palembang. Setelah menyerang Kerajaan Langkasuka yang berpusat di Kedah, baginda telah mengahwini puteri Raja Kedah yang berketurunan Mahawangsa. Melalui perkahwinan tersebut baginda telah dikurniakan dua orang putera. Putera sulung telah ditabalkan sebagai Raja Langkasuka-Kedah manakala putera kedua, Raja Seri Wangsa memerintah di Langkasuka Timur (Jaya). Raja Seri Wangsa pula melahirkan putera bernama Raja Antira Wangsa atau Raja Indera Wangsa.  Dari sinilah munculnya Keturunan Seri Wangsa yang memerintah negeri Patani sehingga tahun 1649. Setakat kisah ini boleh dinyatakan bahawa Keturunan Seri Wangsa telah memerintah Patani selama lebih kurang 800 tahun.

Sejarah mengenai kemunculan Patani terdapat dua versi. Versi pertama menyatakan Patani dibuka oleh Phya Na Tukpa yang kemudiannya memeluk Islam melalui Syeikh Syafiyuddin akhir 1400 Masehi. Phya Na Tukpa ini kemudian menukar nama baginda kepada Sultan Ismail Syah, mangkat dalam tahun 1530 Masehi.

Versi kedua sejarah pembukaan Patani pula menyebut Raja Indera Wangsa yang membuka mengasaskan negeri Patani. Raja Indera Wangsa inilah yang memeluk Islam melalui Syeikh Said dan ditabalkan dengan nama Sultan Muhammad Syah. Menurut kajian lanjut, Raja Indera Wangsa inilah yang berketurunan Raja Sri Wangsa yang melahirkan zuriat sehingga Sultan Ismail Syah, selanjutnya Raja terakhir berketurunan ini, Raja Kuning (1635 – 1649). Manakala, Syeikh Said pula ialah ulama dari Pasai yang dilantik sebagai Penasihat Sultan Patani dengan gelaran Datul Seri Raja Fiqih.

Raja Indera Wangsa pula melahirkan putera bernama Raja Andiradha Wangsa, dan ditabal pula sebagai Raja Patani setelah kemangkatan baginda. Raja Andiradha Wangsa berkahwin dengan Puteri Raja Singgora dan melahirkan pula Raja Andiradha Dewa Wangsa. Apabila Raja Andiradha Wangsa mangkat, Raja Andiradha Dewa Wangsa pula ditabal sebagai Raja Patani. Keturunan Raja Seri Wangsa berketurunan Sri Wijaya ini terus menerus memerintah negeri Patani sehingglah lahirnya Phya Tu Nakpa atau Sultan Ismail Syah serta keturunannya.





Di dalam riwayat lain, dikatakatan seorang yang bernama Syeikh Syafiuddin telah mengislamkan Phya Tu Nakpa. Setelah ditabalkan semula oleh Syeikh Syafiuddin, Phya Tu Nakpa telah diberikan gelaran Sultan Ismail Syah Zillullah Fi al-‘Alam. Syeikh Syafiuddin juga diberikan gelaran Datuk Seri Raja Fiqih yang menjadi Penasihat Agama kepada Kerajaan Patani. Kemudiannya jawatan penasihat agama dan Panglima Agung Tentera Patani itu disandang oleh anak cucu beliau. Menariknya juga, Sejarah Patani ini, keturunan Syeikh Syafiyuddin ini berakhir semasa pemerintahan Raja Kuning juga. Setelah Panglima Agung Tentera Patani yang bergelar Datuk Maharajalela meninggal dunia, tiada lagi pengganti dari keturunan beliau. Kekosongan ini diganti pula oleh generasi baru bergelar Temenggung Seri Paduka.

Semasa pemerintahan Sultan Ismail Syah, baginda telah menugaskan Syeikh Syafiuddin menyeru dakwah Islam seluruh kepada kaum kerabat baginda dan pembesar-pembesar istana. Kemudian Islam tersebar luas dan diterima oleh rakyat Patani dengan hati terbuka. Agama Hindu sudah tidak dipedulikan lagi bahkan tempat ibadat ditinggalkan sehingga habis runtuh binasa dengan sendirinya. Jawatan menteri dan pembesar telah ditukar oleh Syeikh Syafiuddin dengan panggilan orang Datuk dan Orang Kaya. Setelah memeluk Islam, Sultan Ismail Syah juga telah memperkukuhkan hubungan dengan Sultan Melaka terakhir, Sultan Mahmud Syah (1488 – 1528).

(Nota: Raja-Raja Melayu purba seperti Kedah, Patani, Melaka, Kelantan, Singhasari, Majapahit adalah berketurunan dari Maharaja Empayar Sri Wijaya. Juga negeri Pahang, Perak dan Johor purba adalah berketurunan Kesultanan Melaka yang berdarah Sri Wijaya).

Sultan Ismail Syah mangkat dalam tahun 1530 dan digantikan pula oleh puteranya, Raja Muzaffar. Menggunakan gelaran Sultan Muzaffar Syah (1530 – 1564), baginda mangkat secara mengejut setelah berjaya menawan istana Raja Siam Ayuthia dan dimakamkan di muara Sungai Chao Phraya. Semasa kemangkatan Sultan Muzaffar Syah, permaisuri baginda sedang mengandung yang kemudiannya melahirkan seorang putera bernama Raja Patik Siam. Oleh bagi mengisi kekosongan tahta, Patani diperintah pula oleh adinda baginda, bernama Raja Mansur yang sebelum itu berjawatan Raja Muda, dengan gelaran Sultan Mansur Syah (1564 – 1572).

Sewaktu sedang gering, Sultan Mansur Syah telah mewasiatkan supaya tahta Kerajaan Patani diserahkan semula kepada anak saudara baginda, Raja Patik Siam yang ketika itu berusia 9 tahun. Setelah kemangkatan Sultan Mansur Syah maka ditabal oleh pembesar-pembesar Patani Raja Patik Siam dengan gelaran Sultan Patik Syah (1572 – 1573). Disebabkan usia Sultan Patik Syah yang masih kanak-kanak, maka pembesar-pembesar Patani melantik pula bonda saudara baginda, Raja Aishah sebagai Timbalan Sultan.

Pemeritahan Sultan Patik Syah dan Raja Aishah hanya sekitar setahun sahaja kerana kedua-duanya telah dibunuh oleh Raja Mambang, yang juga kanda kepada Sultan Patik Syah. Raja Mambang adalah anak gahara hasil perkahwinan pertama Sultan Muzaffar Syah dengan isterinya, orang kebanyakan. Rasa cemburu dan tidak berpuas hati yang mendorong Raja Mambang membunuh adinda serta bonda saudaranya sendiri. Raja Mambang kemudiannya mati ditikam dengan lembing oleh kakitangan istana.

Kemangkatan Sultan Patik Siam, menyebabkan para pembesar Patani bermesyuarat dan bersetuju melantik Raja Bahadur, sebagai pengganti yang paling layak menaiki tahta. Raja Bahadur merupakan putera Almarhum Sultan Mansur Syah, menaiki tahta menggunakan gelaran Sultan Bahadur Syah (1573 – 1584).

Sultan Bahadur Syah mempunyai seorang kekanda bernama Raja Bima, putera gahara dari ibunya orang kebanyakan. Setelah lama berada di atas tahta, Sultan Bahadur Syah berselisih faham dengan Raja Bima yang semakin lama bertambah melarat. Akhirnya Sultan Bahadur Syah juga mangkat dibunuh dari belakang oleh Raja Bima. Orang-orang istana mengepung dan membunuh Raja Bima sebelum sempat beliau melarikan diri.

(Nota: Banyak sejarah Patani yang ditulis oleh orang Inggeris, kemudiannya disalin semula oleh orang Melayu meyatakan bahawa Raja Mambang dan Raja Bima adalah anak luar nikah Sultan Muzaffar Syah dan Sultan Mansur Syah dengan gundik / concubine. Penulis / Syeikh Kerutuk tidak dapat menerima kenyataan tersebut kerana ia adalah fitnah kepada Raja Melayu Patani. Ini adalah kerana kedua-dua raja tersebut adalah beragama Islam sebagai pemerintah Patani, sebuah negeri yang terkenal dengan pusat penyebaran Islam di Nusantara bahkan juga di negara Arab. Selain itu juga, menteri-menteri, pembesar-pembesar dan Raja-Raja Kecil Patani adalah berketurunan Syeikh Syafiuddin serta anak cucu Raja-Raja Islam Champa yang terkenal dengan sifat tawadhuk mereka, juga merupakan tempat rujukan  agama  di Patani).


Setelah kemangkatan Sultan Bahadur Syah, tiada lagi pewaris tahta dari kalangan putera Raja Patani berketurunan Seri Wangsa. Sultan Bahadur Syah hanya meninggalkan tiga orang puteri.  Patani menjadi terkenal dan masyhur di mata dunia setelah diperintah oleh ratu atau Nang Chayang yang bermaksud Raja Perempuan. Raja Perempuan ini berjaya mentadbir Patani menjadi sebuah negeri maju dan juga berjaya mempertahankan diri dari serangan atau penaklukan musuh tradisinya.
Raja Hijau (1584 – 1616) menaiki tahta menggantikan ayahanda, kemudian diganti pula oleh adinda baginda, Raja Biru (1616 – 1624) setelah kemangkatan Raja Hijau. Patani kemudiannya diperintah oleh Raja Ungu (1624 – 1635).

Raja Kuning (1635 – 1649) adalah puteri kepada Raja Ungu serta suami baginda, Sultan Abdul Ghafur Mahiuddin (Sultan Pahang, 1592 – 1614). Baginda adalah Raja Patani terakhir dari keturunan Raja Seri Wangsa (Sri Wijaya) kerana setelah kemangkatan baginda tiada pewaris yang layak menaiki tahta kerajaan.

Patani kemudiannya diperintah oleh Raja-Raja dari Dinasti Kelantan berketurunan Raja-Raja Islam Champa. Ini bermakna berakhirnya keturunan Raja Sri Wijaya yang memerintah Patani, sebagaimana Kedah dan Kelantan.

ไม่มีความคิดเห็น: