Translate

19/2/56

sejarah kerajaan melayu patani



  Pendahuluan
    Adapun pekerjaan mengatur dan menyusun buku, Sejarah Kerajaan Melayu Patani ini ialah suatu pekerjaan yang sangat sukar dan payah serta telah menggunakan masa yang sangat lanjut bagi mendapatkan keterangan atau kenyataan yang sah dan betul dengan kejadian yang sebanar. Sekalipun ada juga orang-orang tua dalam Patani yang telah menuliskan cerita-cerita dongeng yang tidak munasabah atau percakapan yang tiada berguna dan tiada mustahak untuk dijadikan tawarikh yang kekal. Dalam hal itu pun mereka sangat sayang hingga naskhah-naskhah tulisan tangan itu disimpan dengan kemasnya serta tidak suka memberitahu kepada siapa-siap pun. Akan tetapi penulis telah berusaha dengan bersusah payah
mengumpul cerita-cerita itu sama ada dipinjam ataupun disewa daripada tuan-tuannya. Maka di antaranya penulis telah dapati adalah sebuah naskhah tulisan tangan yang lebih hampir dengan kebenaran dan boleh dibuat panduan dalam usaha menyusun buku ini. Kepada tuan punya naskhah tersebut penulis mengucapkan ribuan terima kasih. Kemudian penulis mulai menyelidik dan membandingkan semula dengan halusi dan dengan menyaksikan bekas-bekas atau kesan-kesan lama yang masih ada bertaburan dalam Patani pada hari ini. Penulis telah menggunakan usaha yang besar dan masa yang lama mencari keterangan-keterangan yang lanjut dalam buku tawarikh yang ditulis dalam bahasa asing serta pergi mencari dalam gedung perpustakaan mereka dengan beberapa lamanya. akhirnya ditapis itu hingga jadilah ia sebuah buku yang kecil seperti yang ada dalam tangan tuan-tuan pembaca ini.
     Dengan hal itu pun penulis percaya juga bahawa susunan dan isi cerita dalam buku ini tiada akan melengkapi semua kejadian dan perubahan yang berlaku dalam masa beratus-ratus tahun semenjak dari abad pembangunan Kerajaan Melayu Patani. Istimewa penulis khuatir kalau ada juga ternyata kesalahan riwayat atau pendapatan seperti yagn ditulis dalam buku ini. Tetepi penulis cuba juga menyusunnya kerana didapati hari ini belum lagi ada buku-buku tawarikh atau sejarah yang ditulis dalam Bahasa Melayu berkenaan dengan hal ehwal dan sejarah yang mengenai riwayat pembangunan Kerajaan Melayu Patani itu. Hingga banyak pula di antara orang-orang  Melayu Patani hari ini tiada mengetahui akan hal ehwal yang mengenai dengan kerajaan mereka pada zaman purbakala iaitu pada masa Kerajaan Melayu Patani sedang berdaulat dan berkuasaan penuh dahulu. mudah-mudahan dengan buku yang kecil ini dapatlah mereka mengetahui dengan sedikit sebanyak serta mengambil tahu hal ehwal datuk nenek mereka yang telah meninggal beberapa lamanya itu. Istimewa diharap buku ini akan menjadi pusaka yang kekal kepada anak-anak cucu mereka yang akan lahir di belakang hari serta menggalakkan mereka itu pada menyiasat dan menyusun buku yang seumpama ini dengan lebih lengkap lagi.
          Sekiranya tuan-tuan pembaca dapati kesalahan dalam susunan penulis ini maka besarlah harapan penulis mendapat maaf dan teguran secara membina supaya boleh dibetulkan semula serta penulis mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih jua. Wassalam.
Maaf dan salam dari penulis
Mr. Ibrahim Syukri.

ไม่มีความคิดเห็น: