Bahasa Melayu Patani di Tiga Wilayah Selatan Thai
Latar Belakang Penutur Bahasa Melayu Patani
Masyarakat
  Melayu di tiga wilayah selatan Thai (dikenali juga sebagai masyarakat 
 Melayu Patani) merupakan salah satu kelompak minoriti di negara Thai,  
tetapi merupakan 
kelompak majoriti di tiga wilayah selatan Thai. Mereka 
 ini merupakan orang Melayu dari segi kebudayaan, adat istiadat dan juga
  rupa paras. Menurut Paitoon (2005: 53), sekitar 75 peratus daripada  
penduduk di tiga wilayah selatan Thai beragama Islam, bertutur bahasa  
Melayu dialek Patani (bahasa Melayu Patani) dan patuh kepada adat resam 
 Melayu seperti penduduk di utara Malaysia. Manakala selebihnya lagi,  
iaitu 25 peratus merupakan mereka yang bukan berbangsa Melayu. Selain  
itu, selatan Thai yang dulunya merupakan bumi tempat kediaman bagi  
orang-orang Melayu telah berubah wajah dengan penaklukannya oleh  
kerajaan Thai. Hal demikian menyebabkan orang Melayu yang mendiami bumi 
 asalnya berubah menjadi warga negara Thai (Chai Ruangsilapa 1974 dalam 
 Worawit Baru 2001: 121). Mereka juga diwajibkan menganggap diri mereka 
 berbangsa Thai dan berketurunan Thai. Walaupun pada hakikat sebenarnya,
  mereka ini berketurunan Melayu dan berbangsa Melayu.
Dalam
  setiap aspek kehidupan harian mereka, masyarakat Melayu Patani  
menggunakan bahasa Melayu Patani sebagai bahasa perhubungan utama  
mereka. Pada umumnya, bahasa Melayu Patani bukan sahaja digunakan dalam 
 pergaulan seharian mereka, malah turut meliputi upacara adat dan  
keagamaan. Menurut Ismail Salleh (2007: 44), bahasa Melayu Patani telah 
 wujud dan berkembang subur sejak ribuan tahun yang lampau, iaitu 
sebelum  kerajaan Melayu Patani diletakkan di bawah naungan dan 
dijadikan  sebahagian daripada entiti negara Thai. Oleh itu, bahasa 
Melayu Patani  telah sebati dalam jiwa orang-orang Melayu dan turut 
menjadi lambang  identiti orang Melayu. Bagi mengimbangi keadaan ini, 
kerajaan Thai telah  memindahkan orang-orang Thai di bahagian utara ke 
tiga wilayah selatan  Thai (Ahmad Fathi 2001: 199). Dengan demikian 
diharapkan dominasi  penduduk dan budaya yang sebelum ini berwarna 
Melayu-Islam, sedikit demi  sedikit akan bertukar ganti dengan unsur 
budaya Thai.
Bahasa Melayu Patani di Tiga Wilayah Selatan Thai
Bahasa
  Melayu Patani merupakan bahasa perantaraan dalam kalangan masyarakat  
Melayu di tiga wilayah selatan Thai. Sepanjang tempoh kewujudan kerajaan
  Melayu-Islam Patani, bahasa Melayu mencapai tahap kegemilangannya dan 
 berperanan sebagai lingua franca dalam kalangan penduduk tempatan dan  
para pendagang yang menyebarkan Islam pada abad tersebut. Mohd. Zamberi 
 (1994: 243) menyatakan bahawa bahasa Melayu Patani telah menjadi bahasa
  ilmu, dan berjaya meletakkan Patani sebagai pusat tamadun 
kesusasteraan  Melayu Islam menerusi penghasilan karya kitab-kitab agama
 oleh para  ulama. Penggunaan kitab-kitab agama itu sebagai bahan 
rujukan amat  meluas sekali, sehingga sampai ke negara-negara timur 
tengah dan Afrika  Utara.
Walau
  bagaimanapun, segala kemegahan terhadap bahasa Melayu itu sedikit demi
  sedikit mulai luntur apabila negara Melayu Patani dijadikan sebahagian
  daripada entiti negara Thai. Semenjak itu, kepentingan bahasa Melayu  
mula diabaikan oleh pihak kerajaan Thai. Beberapa perancangan dan usaha 
 untuk menghapuskan budaya dan juga bahasa Melayu mula dijalankan oleh  
pihak berkuasa. Antaranya, ialah dengan mengharamkan pengajaran bahasa  
Melayu di sekolah-sekolah kerajaan dan juga dalam urusan rasmi di  
pejabat kerajaan. Tindakan ini secara tidak langsung membawa kesan yang 
 amat besar kepada kedudukan bahasa Melayu di tiga wilayah selatan Thai...
Dewasa
  ini, terdapat sebilangan besar keluarga Melayu di tiga wilayah selatan
  Thai yang semakin hari semakin luntur darjah kesetiaan mereka terhadap
  bahasa ibunda mereka. Walaupun datuk nenek mereka dahulu berbahasa  
Melayu, namun kini mereka yang berpendidikan dan mempunyai kedudukan  
tinggi lebih selesa menggunakan bahasa Thai dalam pergaulan seharian  
mereka. Generasi muda juga telah mula seronok menggunakan bahasa Thai  
sesama mereka kerana sistem pendidikan yang mengutamakan bahasa Thai.  
Keadaan ini dapat memberi satu gambaran kejayaan pihak kerajaan Thai  
dalam usaha mewujudkan integrasi nasional dalam kalangan masyarakat  
Melayu. Namun usaha tersebut tidak memberi kesan yang positif terhadap  
kedudukan bahasa Melayu Patani di Thai umumnya, dan di tiga wilayah  
selatan Thai secara khususnya.
Pengaruh
  bahasa Thai yang begitu kuat ke atas bahasa Melayu Patani serta  
beberapa polisi pihak berkuasa yang bertujuan untuk menghapuskannya,  
merupakan antara faktor utama yang menyebabkan kedudukan bahasa Melayu  
Patani semakin lemah dan tergugat dari semasa ke semasa. Ahmad Fathi  
(2001:209) dalam membincangkan perihal kemerosotan bahasa Melayu Patani 
 menyatakan bahawa lapangan yang boleh dikuasai bahasa Melayu Patani  
sekarang ini hanyalah dalam pergaulan seharian, penyampaian khutbah, dan
  pengajaran agama di masjid atau madrasah. Tambah beliau, bahasa Melayu
  tidak digunakan lagi dalam urusan rasmi dengan kerajaan, media massa, 
di  papan tanda, dan bahasa Melayu juga tidak digunakan di mana-mana.
oleh: Kucing Lawa
Daftar Pustaka
Ahmad Fathi. 2001. Pengantar sejarah Fathoni. Kota Bharu: Pustaka Aman Press Sdn. Bhd.
Ismail Salleh. 2007. Bahasa Melayu di negara Thai. Dewan bahasa. September: 43-45.
Fais
  Awae. 2009. Bahasa Melayu Patani dalam Kalangan Mahasiswa/i Melayu 
dari  Tiga Wilayah Selatan Thai: Pemeliharaan dan Penyisihan. Tesis 
Sarjana,  Universiti Kebangsaan malaysia.
Mohd. Zamberi A. Malek. 1994. Patani dalam tamadun Melayu. Selangor: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Paitoon M. Chaiyanara. 2005. Transmorfofonologisasi suprafiks: dialek Patani merentasi zaman. Jurnal Bahasa 5(1): 51-67.
Worawit
  Baru. 2001. Jati diri Melayu Thailand. Dlm. Abdul Latif Abu Bakar  
(pngr). Dunia Melayu dunia Islam, hlm. 117-131. Institut Kajian Sejarah 
 dan Patriotisme Malaysia.


ไม่มีความคิดเห็น:
แสดงความคิดเห็น